Stat Counter

Sunday, February 21, 2010

ikan tak berlidah

Rasululllah s.a.w bersabda: ” sejahat-jahat manusia pada hari kiamat nanti ialah orang yang bermuka dua. Barangsiapa bermuka dua di dunia maka di hari kiamat kelak dia akan mempunyai dua lidah dari lidah api neraka jahannam”.

Sabda Rasulullah s.a.w lagi: “tidak akan masuk syurga orang yang suka membesar-besarkan cerita”. Pabila ditanya apa hikmahnya, Baginda s.a.w menjawab: ” Sesungguhnya Allah s.w.t telah menciptakan semua makhluk itu mempunyai lidah, Sama ada yang boleh berkata-kata ataupun yang tidak boleh berkata-kata. ”

Salah seorang sahabat pun bertanya, “kenapa ikan tidak mempunyai lidah? ” Sabda Rasulullah s.a.w: ” Setelah Allah selesai menciptakan Adam a.s. Maka diperintahkan sekalian malaikat agar tunduk sujud kepadanya. Semua malaikat patuh pada perintah itu kecuali iblis laknat. Oleh kerana iblis enggan sujud, maka Allah melaknatnya serta mengusirnya keluar dari syurga dan dihapuskan rupanya yang elok itu lalu dihantar iblis itu ke bumi. Apabila diturunkan ke bumi, iblis terus menuju ke laut. Pertama sekali yang dijumpai oleh iblis ialah ikan.

Iblis pun menceritakan akan keburukan serta kekurangan Adam kepada ikan, katanya, “Sesungguhnya Adam itu amat suka memburu dan membunuh binatang-binatang yang ada di lautan dan juga di daratan”. Apabila ikan mendengar kata-kata iblis itu ia pun segera menghebahkannya kepada binatang laut yang lain berita tentang Adam a.s. Oleh kerana Allah tidak menyenangi perbuatan ikan inilah lalu dihilangkannya lidah ikan agar tidak lagi dapat menyampaikan berita yang tidak sebenarnya.

Oleh itu, marilah Kita “jaga” lidah Kita supaya tidak hilang seperti lidah ikan. Berkatalah yang baik dan benar, kerana kata-kata yang baik itu adalah sedekah.

Wednesday, February 3, 2010

Perempuan........

>
>Wanita ibarat bunga...
>cantik indahnya pada pandangan mata hanya sementara...
>Yang kekal menjadi pujaan manusia, hanyalah wanita yang mulia akhlaknya...
>kerana akhlak wanita ibarat bunga diri..
>Tiada guna berwajah cantik tetapi akhlak buruk..
>tiada guna juga berwajah cantik tetapi hati kosong dari ilmu...
>
>Ibarat bunga..
>ada yang cantik bila dipandang tetapi busuk baunya...
>Ada pula yang kurang menarik dan baunya juga kurang menyenangkan...
>Ada juga bunga yang tidak menarik pada pandangan mata kasar..
>tetapi bila dihalusi dengan mata hati, ternyata amat tinggi nilainya....
>
>Wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan
>sesuatu bangsa terletak di tangan wanita. Oleh yang demikian, Allah telah
>menetapkan hukumnya ke atas mereka; walaupun berat dipandangan mata si jahil
>dan ingkar tetapi ia adalah kemanisan iman yang dicicip oleh wanita solehah.
>
>Karena itulah...
>Sebagai anak, dia menjadi anak yang solehah...
>Sebagai remaja dia akan menjadi remaja yang bersemangat.. sebagai isteri, dia
>menjadi isteri yang menyenangkan dan menenangkan hati suaminya..
>sebagai ibu, dia akan mendidik anaknya dengan penuh kasih sayang...
>dan pastinya sebagai hamba Allah, dia akan menjadi hamba yang tunduk dan
>menyerah diri hanya kepada-Nya.
>
>Allah swt berfirman dalam surah an-Nisa' ayat 24 yang ertinya, "Barangsiapa
>yang mengerjakan amalan yang soleh baik lelaki mahupun wanita sedang ia
>seorang yang beriman maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak
>dianiaya walau sedikitpun."
>
>Dalam Islam wanita amat dihormati dan dihargai peranannya. Sebagaimana
>eratnya hubungan siang dan malam yang saling melengkapi, begitu juga lelaki
>dan wanita diciptakan untuk saling melengkapi. Setiap lelaki dan wanita
>memiliki tugas dan kewajiban yang berlainan, sesuai dengan fitrah
>masing-masing. Namun, tujuan hidup setiap lelaki dan wanita adalah sama,
>iaitu mencari redha Allah (Mardhatillah). Allah telah berfirman,
>"Barangsiapa yang mengerjakan amalan yang soleh baik lelaki mahupun wanita
>sedang ia seorang yang beriman maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan
>mereka tidak dianiaya walau sedikitpun." (QS. An-Nisaa: 124)
>
>Rasulullah juga turut memerintahkan umatnya supaya memperlakukan wanita
>sebaik-baiknya sebagaimana sabdanya: "Mereka yang paling sempurna di kalangan
>mereka yang ikhlas adalah mereka yang mempunyai akhlak yang terbaik dan yang
>terbaik dikalangan kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya." (HR
>At-Tirmidzi)
>
>Rasulullah saw telah memerintahkan supaya kaum wanita diperlakukan menurut
>fitrah ia dijadikan sebagaimana dalam sabdanya: "Berlaku baiklah terhadap
>kaum wanita lantaran mereka diciptakan dari tulang rusuk yang tengkok adalah
>bahagian yang teratas, jika kamu cuba untuk meluruskannya kamu akan
>mematahkannya dan jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok, maka berlaku
>baiklah terhadap kaum wanita kamu." Al-Bukhary dan Muslim.
>
>Nilai wanita dalam Islam amat bertentangan dengan apa yang diperjuangkan oleh
>wanita Barat. Nilai wanita bukan terletak pada fesyen pakaiannya yang
>menonjol, berhias diri untuk memperlihatkan kecantikannya, tetapi hakikatnya
>ialah pada kesopanan, rasa malu dan keterbatasan dalam pergaulan.
>

Monday, February 1, 2010

cerita tauladan...

***************

Lapang benar dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di kaunter pejabat
Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam
senarai jemaah yang akan menunaikan fardhu haji pada tahun ini.

"Tapi pak cik kena bayar segera bahagian mak cik yang masih tak cukup tiga
ribu lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat," beritahu
pegawai itu lagi.

"Insya Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera," janji Pak Uwei.

Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya.
Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji dia terus balik ke rumah.

"Pah...oo..Pah!" teriak Pak Uwei sebaik turun dari keretanya.

"Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?" tanya Mak Pah.

"Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ini akan
tertunai. Insya Allah dua bulan lagi kita akan ke sana. Tak sabar betul
saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai," cerita Pak Uwei dengan
wajah berseri-seri.

"Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak
dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai."

"Betullah Pah oii...saya ni baru je balik dari pejabat Tabung Haji. Cuma
duit bahagian awak tu kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan."

"Mana kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itu pun
lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu."
Mak Pah merenung gusar wajah suaminya.

"Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka
tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja." Wajah Pak Uwei
semakin berseri-seri. Dia yakin anak- anaknya yang dua orang itu tidak akan
menghampakan harapannya.

"Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik boleh kita
berunding," cadang Pak Uwei. "Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah
yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula
kata menantu kita nanti
nak ke Mekah minta duit anak-anak." Mak Pah tidak bersetuju dengan
rancangan Pak Uwei.

"Pah... Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka,
hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh
lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak
bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali
ni." Yakin benar Pak Uwei, harapan yang menggunung digantungkan kepada
anaknya. "Tapi bang..."

"Dahlah...pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala.
Saya nak telefon budak-budak tu," pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah
melahirkan kebimbangannya. Lega hati Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia
akan pulang kemudian Pak Uwei menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia
hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya.

"Insya Allah Kis balik nanti abah. Emm...abah nak Kis suruh Intan balik
sama?" tanya Balkis.

"Ikut suka kaulah, bagi abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke
tidak ke, sama aje. Balik ya...," balas Pak Uwei.

Bukan dia membeza-bezakan anak-anaknya tapi hati tuanya cepat benar panas
bila berhadapan dengan Intan. Sikap degil dan tak mahu mendengar kata
anaknya itu menyebabkan dia geram. Sudahlah malas belajar tidak seperti
Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah. Kalau ditegur sepatah,
sepuluh patah tidak menjawab. Masih Pak Uwei ingat gara-gara sikap keras
kepala Intan untuk bekerja kilang mereka bertengkar besar tiga tahun lalu.
Kini hubungan mereka seperti orang asing.

"Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau sambung
belajar lagi." Pak Uwei tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak
bekerja kilang.

"Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang.
Kerja kilang pun bukannya haram." bantah Intan menaikkan darah Pak Uwei.
"Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok
berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari
mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?"

"Itulah abah, selalu nampak yang buruk aje. BUkan semua yang kerja kilang
duk kat KL tu jahat abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok
pangkalnya hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh abah." Intan
cuba membuat abahnya faham.

"Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau
tengok Balkis tu tak pernah dia membantah cakap macam kau ni!"

"Intan memang tak sama dengan Kak Balkis abah, Intan suka berterus terang
kalau tak kena Intan cakap depan-depan bukan membebel kat belakang," balas
Intan selamba menyemarakkan bara dalam dada abahnya.

"Anak tak mendengar kata, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi...
aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke, telangkup ke, gasak
kaulah.

Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!" Sejak kejadian
itu Pak Uwei memang tidak memperdulikan langsung apa yang Intan nak buat.
Namun begitu Intan tetap pulang setiap kali cuti, dia bersikap selamba
biarpun abahnya tidak memperdulikannya. Intan selalu menghulur duit tapi
hanya kepada maknya sahaja. RIANG hati Pak Uwei bukan kepalang bila
anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya.
Malam itu selesai menikmati makan malam dan berjemaah sembahyang Isya`,
mereka duduk berborak di ruang tamu.

"Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni ada hajat sikit," Pak Uwei
memulakan bicara. "Hajat apa pula abah?" tanya Muaz yang duduk di
sebelahnya.

"Abah dan mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. Memandangkan
bahagian mak kau masih belum cukup lagi abah nak minta kau dan Balkis bantu
sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah," Pak Uwei mengutarakan
hasratnya.

"Boleh tu boleh abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru aje
keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi
bolehlah Az ikhtiarkan," ujar Muaz. "Tapi...pegawai Tabung Haji tu minta
bayaran dibuat segera selewat-lewatnya minggu depan." "Kalau dalam
seminggu dua ni abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak pun cukup
bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan budak-budak ni
Az keluarkan," jawab Muaz serba salah.

"Kau beli rumah lagi, rumah yang ada tu kau nak buat apa?" tanya Pak Uwei
melindungi kekecewaannya.

"Rumah baru tu besar sikit abah. Selesalah buat kami sebab budak-budak tu
pun dah besar masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi
abah, pelaburan masa depan juga," sampuk Mira isteri Muaz. Pak Uwei
terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis.

"Kamu macam mana Kis, boleh tolong abah? Nanti abah bayarlah balik duit
kamu tu bila ada rezeki berbuah durian kat dusun kita tu nanti," Pak Uwei
berpaling pada Balkis.

"Kis pun rasanya tak dapat nak tolong abah. Kis baru aje keluarkan duit
simpanan buat menambah modal perniagaan abang Man. Tengah gawat ni faham
ajelah... ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi." Hancur
berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis.

"Man bukan tak nak tolong abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh.
Tapi yelah kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman."
"Betul kata Man tu abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri
baru elok," sokong Muaz. Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang
menikam dada Pak Uwei. Bila dia bertemu pandang dengan Intan, Pak Uwei
terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila kedua anak yang diharap-harapkan
menghampakannya.

"Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah abah kau pergi seorang
dulu, nanti kalau ada rezeki mak pula pergi," Mak Pah bersuara cuba
meredakan keadaan. "Kalau nak pergi sendiri dah lama saya pergi Pah. Tak
payah saya tunggu
lama-lama. Kalau awak tak pergi biarlah kita sama-sama tak pergi...dah tak
ada rezeki kita nak buat macam mana?" Pak Uwei bangun masuk ke bilik
meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal. Intan tahu abahnya benar-benar
kecewa. Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan rasa kecewanya tapi Intan
faham kecewa abahnya teramat sangat kerana tidak menduga anak-anak yang
selama ini disanjung akan mengecewakannya begitu.

"Anak awak tu tak balik ke?" tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila Intan tidak
turut serta balik bersama abang dan kakaknya.

"Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti," balas Mak Pah sambil mencapai
kain selendangnya. "Nak ke mana pulak tu?" tanya Pak Uwei melihat Mak Pah
bersiap-siap. "Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya kuih lepat
ubi kegemarannya." Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebut anaknya.
Bukan sekali dua dia menegur sikap Pak Uwei yang gemar membeza-bezakan
anak. PAGI Isnin tu selepas bersarapan Intan bersiap-siap hendak keluar.

"Nak ke mana Intan pagi-pagi lagi dah bersiap ni?"

"Intan ada hal sikit kat bandar mak. Intan pergi dulu ye."

"Kalau nak ke bandar suruhlah abah kau tu hantarkan," suruh Mak Pah.

"Tak payah mak, Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula abah
tu. Intan pergi dulu." Mak Pah menggeleng memerhatikan Intan berlalu.
Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati membuat
anaknya itu
menyisihkan diri. Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu mak dan
abahnya sedang menikmati juadah tengah hari.

"Kau ni Tan buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. Ni
abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api."

"Ingat lagi abah lauk kegemaran Intan rupanya," usik Intan tak bertangguh
mencapai pinggan. "Mak bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma
anak-anak aje yang lupakan mak bapak," jawab Pak Uwei sinis. Intan
tersenyum pahit.

Selesai mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor kemudian dia
mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedang
membaca suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain.

"Mak, abah... Intan ada hal sikit nak cakap ni...," ujar Intan menghampiri
mereka. Pak Uwei menurunkan suratkhabar yang dipegangnya kemudian
menanggalkan cermin mata yang digunakan untuk membaca.

"Apa hal... kamu nak kahwin ke?" soal pak Uwei merenung Intan. Tawa Intan
meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya. Melihat Intan tergelak besar
Pak Uwei turut tertawa. Mak Pah pun tergelak sama, riang rasa hatinya
melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu. "Abah ni... ke situ
pulak...." "Habis tu?" "Ini... kad Tabung Haji mak. Tadi Intan ambil dalam
laci tu. Yang ni resit memasukkan duit ke akaun mak. Semuanya Intan dah
uruskan. Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek mak dan abah. Yang dua
ratus lagi ni untuk buat kenduri doa selamatsebelum berangkat nanti." Intan
memasukkan duit itu dalam
genggaman Pak Uwei. "Apa??" Pak Uwei terkejut matanya merenung Intan dan
duit di tangannya bagai tidak percaya.
"Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh
Intan yang halal abah, terimalah. Selama ini Intan banyak kali kecewakan
abah. Intan tak pernah dapat membahagiakan hati abah. Selama ini pun Intan
selalu sangat rasa kalah pada abang Az dan Kak Balkis. Intan tak cantik dan
baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka. Intan tahu abah
selalu kecewa dengan Intan. Hanya kali ini Intan dapat tunaikan hasrat
abah.

Dah banyak kali abah tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak
Balkis nak kahwin, lepas tu mak pula tak sihat. Sekarang ni masa yang
sesuai. Intan harap abah sudi terima pemberian Intan," tutur Intan perlahan
memerhatikan
airmata menuruni pipi abahnya yang sudah berkedut dimamah usia. "Terima
kasih Intan. Malu rasanya abah nak ambil duit kamu... dulu abah selalu
bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi tapi akhirnya
anak abah yang kerja kilang yang membantu abah," luah Pak Uwei sambil
mengesat airmata terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini
dimusuhinya. "Sudahlah abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit
lagi. Intan
gembira abah sudi terima pemberian Intan."

"Pemberian kau ni terlalu terlerai bagi abah dan mak kau Intan...," ujar
Pak Uwei. Intan peluk abahnya erat. "Hah... tulah, jangan suka
memperkecil-kecilkan anak saya ni," Mak Pah mengusik Pak Uwei sambil
mengesat airmata penuh kesyukuran.

"Mak ni...," gelak Intan memandang abahnya yang tersengih.

MASA yang ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang
menziarahi Pak Uwei dan Mak Pah. Intan memerhati dengan perasaan gembira
bercampur hiba.

"Semua dah siap ke mak?" tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya
memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah. "Dah
rasanya... ada apa-apa yang Intan nak pesan mak belikan di sana nanti?"
"Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli mak. Yang
penting mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna."

"Hah, awak dengar tu...kita ni nak pergi menunaikan ibadah bukan nak
membeli-belah," tambah Pak Uwei yang turut mendengar perbualan dua-beranak
itu.

"Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang
Intan mahu, doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat," pesan Intan sambil
memeluk emaknya. Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan. Tiba-tiba sebak dengan
permintaan Intan itu.

HANYA dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Uwei
mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah
menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan terselit rasa tidak sedap
di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutama Intan bagai menyentap
tangkai hatinya. Pak Uwei terkenangkan mimpinya bertemu Intan di tanah
suci. Intan tidak berkata sepatah pun tapi bagai memberitahu yang dia akan
pergi jauh.

"Kenapa resah aje ni bang?" Mak Pah terjaga.

"Entahlah Pah, saya teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita."

"Sabarlah dah nak sampai dah ni," pujuk Mak Pah.

Dari jauh lagi Pak Uwei sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka.
"Mak... abah...," Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya
tanpa dapat menahan airmata menitis laju.

"Mana yang lain ni, kamu berdua aje?" Pak Uwei tertinjau-tinjau mencari
wajah Intan. "Mereka menanti di rumah, abah," beritahu Azman suami Balkis
sambil mencium tangan Pak Uwei. "Intan pun tak datang juga ke?" tanya Pak
Uwei terasa hampa. "Awak ni... kan Man dah kata mereka menunggu di rumah."
Mak Pah menggeleng, dua tiga hari ini nama Intan tak terlepas dari mulut
suaminya. Perjalanan tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu
lama oleh Pak Uwei. Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut berasa
bagai ada yang tak kena. "Dua tiga malam sebelum balik, abah kau mengigau
terjerit-jerit dia panggil nama Intan. Kalau Intan dengar cerita ni tentu
dia gelihati." cerita Mak Pah pada Muaz dan Azman. Muaz mengerling Azman
yang sedang memandu.

"Tentulah abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit," balas Muaz
cuba bergurau walaupun terasa sayu. "Tapi abah rasa macam ada yang tak kena
aje Az, dalam mimpi abah tu abah nampak Intan macam nak beritahu dia nak
pergi jauh. Tapi dia tak bercakap pun hanya renung abah. Intan tak ada
cakap apa-apa dengan kau Az?" "Err... tak ada abah. Kita berhenti minum
dulu abah, tentu mak haus," ajak Azman.

"Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik," tolak Pak Uwei. Azman
dan Muaz hanya berpandangan.

SEBAIK turun dari kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan.
Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu. Semua yang ada
menitiskan air mata.

"Mak dengan abah sihat ke?" tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa
mentuanya. "Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit. Intan mana, dia tak balik
ke?" Mak Pah mula berdebar bila Intan tidak kelihatan. "Naik dulu
Ngahnya...," suruh Long Semah.

"Intan mana?" Pak Uwei mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu
di mana Intan. Pantas dia memanjat tanggu menuju bilik Intan. Matanya
terpaku pada bekas baru yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain
batik lepas. Dadanya bergetar.

"Az... mana Intan? Mana adik kau Az?" tanya Pak Uwei dengan suara yang
menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu. "Sabar
abah...," Muaz menggosok belakang abahnya.

"Kenapa Az...kenapa?" Mak Pah menurunkan Syazwan cucunya dari pangkuan dan
melangkah laju ke bilik Intan.

"Mak... Intan dah tak ada mak," Balkis tersedu memeluk emaknya yang
terduduk lemah.

Pak Uwei terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Pah terus pengsan.
Bila dia terjaga dia melihat anak menantu mengelilingnya. Pak Uwei duduk di
tepi kepalanya. "Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita. Intan pergi pun
dalam keadaan tenang. Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji
dah tertunai," pujuk Long Semah yang masih belum pulang.

"Intan ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan
hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala
salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia
minta kita doakan dia," Pak Uwei menepuk lembut bahu Mak Pah yang tersedu.
"Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?" tanya Mak Pah.
"Kami semua ada mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya mak.
Sebenarnya dia ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah. Mak dan
abah nak balik. Masa sampai tu dia sihat lagi tiba-tiba malam Khamis tu
lepas solat Isya` dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak
hantar ke hospital tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru dia
ceritakan sakitnya. Dia meninggal subuh hari Jumaat mak... tiga hari lepas.
Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang mak," cerita Muaz.

Mak Pah mengenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Intan
memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka. Dan ketika itu
bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan,"Intan tak nak mak dan abah
belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, mak dan abah
doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat.."

10years challenge

Assalamualaikum. Sempena tahun baru 2019, nak tukar gaya penulisan ke arah yang lebih matang. Insya allah. Namun terasa geli pula tanpa...